Sekitar 300,000 kemalangan jalan raya berlaku di Malaysia setiap tahun dan jumlah kemalangan ini mencukupi bagi tujuan analisa. Walau bagaimanapun, sistem data kemalangan jalan raya di Malaysia yang sedia ada hanyalah bertujuan untuk penyimpanan data dan pengurusan; dan bukan untuk kajian. Penilaian terhadap data kemalangan yang telah berlaku hendaklah dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Di samping itu, sistem analisis kemalangan jalan raya juga penting bagi membolehkan pemahaman mengenai corak-corak kemalangan. Sebuah sistem yang menggunakan data kemalangan sedia ada; Sistem Analisa dan Pangkalan Data Kemalangan Jalan Raya MIROS (M-ROADS) telah dibangunkan oleh MIROS dan ia boleh membekalkan analisa terperinci terhadap kemalangan-kemalangan yang telah berlaku. Di samping itu ia juga mempunyai beberapa fungsi tambahan seperti rujukan silang, pengenalpastian kawasan berbahaya, pencarian lokasi melalui Google Maps, pengurusan rekod dan penghasilan laporan.