MENGKAJI HUBUNGAN ANTARA RASA MARAH SEMASA MEMANDU DAN KETIDAKAKURAN KEPADA UNDANG-UNDANG TRAFIK DAN PERBEZAAN MENGIKUT GENDER
01 May 2020
Perlaksanaan undang-undang trafik dapat mempromosikan keselamatan dan mengurangkan potensi berisiko dalam kalangan pengguna jalanraya. Walau bagaimanapun, tidak semua pengguna jalanraya, khususnya pemandu mematuhi undang-undang jalanraya apabila mereka mengalami emosi negatif seperti rasa marah. Bagi memahami fenomena ini, satu kajian dilaksanakan untuk mengkaji hubungan antara rasa marah semasa memandu dengan ketidakakuran undang-undang trafik. Perbezaan antara lelaki dan wanita dari segi rasa marah semasa memandu dan ketidak akuran undang-undang jalanraya juga diukur. Seramai 222 pemandu, 130 (58.6%) lelaki, 91 (41%) perempuan dan seorang tidak menyatakan gender turut serta dalam kajian dengan min umur 34.43 (SP=10.20). Kajian ini memfokuskan pemandu yang mempunyai lesen memandu yang sah di sekitar Kota Kinabalu, Sabah. Satu set soal selidik mengandungi tiga seksyen digunakan; Seksyen A (profil demografi termasuk umur, pengalaman memandu, gender dan tahap akademik); Seksyen B (ketidakakuran undang-undang trafik) dan seksyen C (rasa marah semasa memandu). Data dianalisis menggunakan regresi mudah dan ujian t sampel bebas. Kajian menunjukkan rasa marah semasa memandu menyumbang kepada 3% kepada varians ketidakakuran undang-undang trafik. Juga didapati pemandu lelaki memperoleh skor yang lebih tinggi dalam ketidakakuran undang-undang trafik berbanding pemandu wanita. Sebaliknya pula, pemandu wanita memperoleh skor yang tinggi dari segi rasa marah semasa memandu berbanding pemandu lelaki. Keputusan kajian memberikan kesedaran tentang kesan rasa marah semasa memandu ke atas ketidakakuran undang-undang trafik dan perbezaan antara pemandu lelaki dan wanita dari segi rasa marah semasa memandu dan ketidakakuran dalam undang-undang trafik. Hasil kajian ini dapat dijadikan panduan kepada pihak yang berautoriti untuk melaksanakan program keselamatan jalanraya yang memfokuskan kepada strategi dalam mengurus dan mengawal kesan negatif rasa marah seperti ketidakakuran undang-undang trafik ke atas tingkah laku pemanduan.
Kata kunci: Undang-undang trafik, rasa marah semasa memandu, ketidakakuran trafik