SIASATAN KADAR KEMALANGAN JALAN RAYA DI FT050, JALAN BATU - PAHAT KLUANG: SEBELUM DAN SELEPAS PEMBINAAN PEMBAHAGI JALAN
01 May 2020
Jumlah kemalangan jalan raya maut sepanjang Jalan Persekutuan FT050 (Jalan Batu Pahat - Kluang - Ayer Hitam) yang melibatkan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) masih meningkat. Peningkatan kualiti jalan seperti pelebaran lorong, penaiktarafan permukaan jalan dan pembinaan pembahagi jalan telah dilakukan untuk mepertingkatkan keselamatan jalan raya dan trafik sejak tahun 2010. Malangnya, jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya tidak berkurangan malah telah meningkat. Sehubungan dengan itu, tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis tren kemalangan, menentukan kawasan jalan dengan risiko tinggi dan mengenalpasti impak pembahagi jalan dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya. Kajian ini tertumpu di sepanjang jalan FT050 bermula daripada Kolej Vokasional Batu Pahat sehingga Kolej Jururawat Parit Raja (KM7 - KM21 atau sepanjang 14 km) di mana pembahagi jalan telah dibina. Data kemalangan jalan raya seperti jumlah kemalangan sebelum pembinaan pembahagi jalan (2010 - 2012) dan selepas pembinaan pembahagi jalan (2013 - 2014) telah diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia manakala data berkaitan geometri jalan untuk kajian reka bentuk jalan telah diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya. Penentuan Accident Point Weightage (APW) telah dilakukan dengan menggunakan kaedah APW dan Microsoft Excel untuk mendapatkan tahap bahaya sesuatu kawasan jalan raya tersebut. Model Accident Prediction Model yang dihasilkan berdasarkan regresi linear berganda telah digunakan untuk mengaitkan kadar kemalangan jalan raya dengan parameter reka bentuk jalan. Hasil menunjukkan bukti yang cukup untuk menyokong teori bahawa keselamatan sebuah jalan raya adalah berkaitan dengan hubungan di antara jumlah kemalangan jalan raya dan reka bentuk jalan dengan mengambil pemberat kawasan berlakunya kemalangan jalan raya sebagai pembolehubah tergantung. Hasil ini juga menunjukkan bahawa jumlah jalan keluar masuk sedia ada di persimpangan samada persimpangan dengan lampu isyarat atau tiada, jumlah trafik atau Annual Average Daily Traffic (AADT) dan reka bentuk jalan merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kadar nahas jalan raya di jalan raya lebih daripada satu lorong di kawasan luar bandar.
Kata kunci: Kajian kemalangan jalan raya, kedudukan black spot, pembahagi jalan, model ramalan kemalangan