KESAN PENGGUNAAN PITA REFLEKTIF KEPADA JARAK PENGESANAN MOTOSIKAL DALAM KALANGAN PEMANDU KERETA
01 May 2020
Kajian ini dijalankan untuk melihat sama ada penggunaan pita reflektif keterlihatan yang dilekat di bahagian sisi badan motosikal mampu atau tidak dalam menambahbaik tahap keterlihatan motosikal pada waktu malam, dari segi jarak pengesanan motosikal oleh pemandu kereta dan pengguna jalan raya yang lain. Secara keseluruhannya, 32 konfigurasi telah dikenalpasti dan diuji untuk disesuaikan dengan isu berkaitan keterlihatan motosikal di jalan raya di Malaysia. Konfigurasi-konfigurasi yang diuji adalah penggunaan pita reflektif keterlihatan kepada motosikal yang diuji, kefungsian lampu hadapan dan belakang motosikal, kawasan jalan raya (bandar atau luar bandar), jenis jalan dan persimpangan, dan juga keadaan jalan raya. Jarak pengesanan motosikal yang dikesan oleh peserta kajian telahpun direkod ketika eksperimen dijalankan di dalam kawasan dan keadaan yang terkawal, di bawah penyeliaan staf teknikal yang terlatih. Secara puratanya, dapatan kajian menunjukkan bahawa motosikal mampu dikesan pada jarak 44meter ketika ianya ditunggang tanpa bantuan keterlihatan (lampu tidak berfungsi dan tanpa pita reflektif). Secara relatifnya, lampu motosikal atau penggunaan pita reflektif mampu meningkatkan jarak pengesanan motosikal kepada hampir 60% jika dibandingkan dengan motosikal tanpa bantuan keterlihatan. Apabila lampu motosikal berfungsi dan pita reflektif digunakan, purata jarak motosikal yang berjaya dikesan adalah 86meter, iaitu peningkatan sebanyak 95% jika dibandingkan dengan motosikal tanpa bantuan keterlihatan. Analisis selanjutnya menunjukkan penggunaan pita reflektif keterlihatan mampu memberi impak yang sama dengan lampu motosikal kepada jarak pengesanan motosikal. Secara umumnya, motosikal yang menggunakan pita reflektif keterlihatan mampu untuk dikesan dari jarak yang lebih jauh pada hampir kesemua konfigurasi dan situasi pemanduan jika dibandingkan dengan motosikal tanpa penggunaan pita reflektif keterlihatan. Kesimpulannya, penggunaan pita reflektif keterlihatan yang betul kepada motosikal mampu untuk meningkatkan kebolehlihatan motosikal dan membantu dalam mengurangkan kemalangan jalan raya pada waktu malam di samping membantu dalam menyelamatkan nyawa.
Kata kunci: Motosikal, keterlihatan, kebolehlihatan, keselamatan motosikal, pita reflektif