PERBEZAAN TAHAP KECEDERAAN BAGI PEMANDU LELAKI DAN PEREMPUAN DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA DI SABAH
01 May 2020
Kemalangan jalan raya telah menjadi isu yang besar di seluruh dunia kerana telah mencatatkan angka kematian yang tinggi setiap tahun. Kajian terdahulu telah mendapati banyak faktor yang mempengaruhi tahap kecederaan di antara pemandu lelaki dan wanita. Bagaimanapun, faktor-faktor ini mungkin berbeza untuk keadaan pemanduan yang kompleks seperti di kawasan pergunungan dan berbeza komposisi kenderaan. Objektif utama kajian ini adalah untuk menentukan perbezaan tahap kecederaan antara pemandu lelaki dan perempuan yang melibatkan kereta, pacuan empat roda dan van. Untuk melihat kesan topografi dan komposisi kenderaan, Sabah telah dipilih untuk kajian ini. Model regresi logistik secara berasingan untuk kecederaan pemandu lelaki dan perempuan telah dibangunkan menggunakan data kemalangan jalan raya dari tahun 2008 hingga 2012. Hasil kajian menunjukkan bahawa kemalangan pada waktu malam dan musim hujan adalah lebih parah berbanding dengan kemalangan yang berlaku pada waktu siang dan musim kering untuk pemandu lelaki sahaja. Kemalangan di simpang empat adalah lebih parah untuk pemandu wanita. Tingkahlaku membelok secara berbahaya yang mengakibatkan kemalangan juga menyumbang kepada peningkatan tahap kecederaan di kalangan pemandu wanita. Faktor-faktor yang mempunyai kesan yang sama antara pemandu lelaki dan wanita adalah jenis perlanggaran, jenis jalan, geometri jalan, umur pemandu, kesalahan pemandu dan jenis kenderaan. Kajian ini memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kecederaan pemandu lelaki dan wanita dalam kemalangan di kawasan pergunungan dan kesan komposisi kenderaan yang berbeza di atas jalan raya.
Kata kunci: Pemandu lelaki, pemandu wanita, perbezaan jantina, tahap kecederaan