SIFAT KENDERAAN YANG MELANGGAR LAMPU MERAH DENGAN MENGGUNAKAN PENDEKATAN REGRESI LINEAR DI LAMPU ISYARAT JALAN BAKAU CONDONG, BATU PAHAT, JOHOR
01 May 2020
Zon dilema lampu isyarat merah merupakan kawasan persimpangan dengan halaju tinggi di mana berlaku situasi samada kenderaan berhenti dengan selamat sebelum garisan ataupun meneruskan perjalanan menerusi simpang walaupun lampu isyarat telah bertukar merah. Di dalam zon ini, kenderaan mudah terlibat dengan pelanggaran sudut tepat atau pelanggaran daripada belakang. Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan sebuah model untuk menjangka kejadian pelanggaran lampu isyarat merah dengan mengira jarak kejadian pelanggaran lampu merah dan lingkungan zon dilema lampu isyarat merah. Data yang telah dikumpul menggunakan kamera video dan Traffic Data Collector (TDC) di antaranya adalah aliran trafik, halaju trafik yang melanggar lampu isyarat merah, jumlah kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah, dan tempoh pusingan lampu isyarat. Data berkenaan kemudiannya telah dianalisis menggunakan perisian seperti Microsoft Excel, Minitab and PETRAPro. Berdasarkan hasil Analisis Regresi Linier Berganda, menunjukkan parameter yang terlibat dalam tingkah laku kenderaan di kawasan lampu isyarat menghasilkan nilai p yang sangat signifikan iaitu kurang atau sama dengan 0.1 dengan tahap keyakinan 90%. Parameter seperti aliran trafik dan kelajuan purata kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah dengan nilai p masing-masing adalah 0.051 dan 0.034 setiap satu membuktikan bahawa semua parameter ini menyebabkan peningkatan kadar perlanggaran lampu isyarat merah di kawasan simpang. Nilai R2 = 63.76% juga menunjukkan bahawa model jangkaan ini adalah memuaskan.
Kata kunci: Pelanggaran lampu isyarat merah, jarak larian/pelanggaran, zon dilemma, regresi berganda